Tags

, , , , , , ,

Hujan renyai-renyai di luar, kalau lah ada tingkap di sebelah saya, tentu seronok layan perasaan. Malangnya tiada tingkap di sebelah saya (office saya ibarat gua), dan saya hanya tahu keadaan di luar hanya bila saya ke tandas, melalui ruang udara tandas.

*****************************************

Saya baru balik kampung semalam. Seronok, rasa macam nak berlama-lama di kampung. Tapi kemudian saya segera teringat tentang perasaan bila sudah berlama-lama di kampung. Terus tak jadi. Maklum lah, jumpa sekali-sekala tentulah diraikan, bila dah lama, sudah tidak diperdulikan lagi. Hakikat hidup!

Di kampung, mereka menyediakan juadah berbuka secara bergotong-royong, malah makan pun bersama-sama. Dah jadi seperti kenduri setiap hari. Sangat meriah dan menarik, biasalah, bila susah, semua akan bersatu!

Oleh sebab saya ini bukan anak yang sangat baik, balik kampung pun hanya sekali sekala, maka saya berazam bila saya pulang, saya akan cuba menghiburkan mak saya seberapa banyak yang boleh. Lalu saya bawa mak saya pergi ber-shopping di pasaraya di Manjung, bersama dengan dua adik perempuan saya. Tapi akhirnya saya dapati, adik-adik saya yang pau saya lebih-lebih, sedangkan mak saya cam tak tahu nak beli apa. Itupun, saya sendiri pilihkan satu set penjagaan muka. Jadi saya rasa, saya akan mencari sepasang jubah dan tudung untuk dia selepas ini. Errmm..

Malangnya, selepas pulang semalam, saya rasa macam dah sengkek ni. Huhuhu.. selepas dicongak-congak, banyak juga amal jariah yang saya dah buat, menyebabkan saya langsung kehabisan duit (banyak ooo.. rasa cam pening lalat sekejap). Tapi tak baik pulak berkira-kira kebaikkan yang dah dibuat. Jadi, nanti saya pikirkan balik, mahu berbelanja atau tidak untuk mak saya.

*****************************************

Hari Khamis yang lepas, dengan pertolongan housemate saya, Cik Atirah yang kadang-kadang sangat baik hati, tapi kadang-kadang membuatkan saya sangat geram, telah pergi membeli tikat balik kampung di Kaunter Transnational Taman Setiawangsa. Saya terlupa tarikh, tapi sudah saya nyatakan saya mahu tiket ke Lumut pada hari Sabtu tengahari dan tiket pulang ke KL pada hari Isnin.

Jadi pada hari Sabtu tersebut, saya dengan penuh rasa innocent-nya (innocent dalam bahasa inggeris apa ye?), pergi ke Platform 9 di Puduraya, dan menyerahkan tiket tersebut kepada pemandu bas. 2 kali pemandu tersebut melihat ke senarai penumpang, sekali ke tiket saya, dan akhirnya memandang saya sambil berkata, “cik, ini tiket semalam!”

Hah? wajah panik jelas kelihatan diwajah saya. Arrgghh.. kerani tu bagi tiket salah tarikh pada saya!

“Kerani kaunter bagi tiket salah tarikh pada saya! Bukan salah saya. Jadi macam mane ni?”

“Takpe, saya boleh bagi cik naik bas ni sebab ada seat kosong lagi, tapi cik perlu dapatkan cop di kaunter atas”

Jadi saya pun bergegaslah ke kaunter atas. Di atas pakcik yang tukang cop tu cakap, saya perlu bayar separuh harga tiket kepada pemandu. Oh.. apakah!! Saya hampir nak memaki kerani tiket tersebut, nasib saya ingat saya sedang berpuasa, jadi cepat-cepat saya sabarkan hati saya. Bila saya periksa tarikh tiket pulang ke KL, benarlah, dia awal sehari pada semua tiket saya!!

Setelah menyerahkan tiket kepada pemandu yang baik hati tu, dia pun suruh saya duduk di tempat duduk nombor wahid, sebab itu je yang kosong! Nasib baiklah pemandu tersebut kata tak perlu bayar separuh harga. Mungkin separuh harga itu sebenarnya untuk pemandu bas, jadi mungkin ingin membuat amal jariah. Semoga dia dirahmati dan dimurahkan rezeki.

Bila pulang KL, saya tidak lagi bernasib baik seperti hari Sabtu tu. Walaupun saya cuba menjual tiket 30hb tu, tapi sewaktu saya datang ke kaunter bas pada 31hb tu, kerani kaunter tu tak ada, jadi saya pun tak pasti dia berjaya menjualnya atau tak. Tak mengapalah, saya halalkan lah kalau tiket tu berjaya di jual. Saya terpaksa membeli sekeping lagi tiket bas pulang ke KL, dan mujurlah bas Arwana masih banyak lagi yang kosong.

Pelajaran hari ini, kepada kerani kaunter tiket, sila buat kerja elok-elok, jangan menyusahkan orang lain, dan jangan disebabkan kesilapan awak tak check tarikh tiket, orang lain sampai tak dapat berhari raya di kampung.

Dan pelajaran untuk saya, sila periksa tiket anda, sebab walaupun ini kejadian pertama setelah 28 tahun saya menaiki bas, tapi itu tak mustahil akan berlaku kepada saya lagi, dan berlaku kepada anda juga!

*****************************************

Ntah kenapa, setiap kali mahu pergi kerja, saya seperti kemalasan. Ntah apa yang saya takutkan. Mungkin saya diserang phobia bekerja pada hari pertama, akibat satu peristiwa pada hari Isnin beberapa bulan lepas. Jadi pada setiap malam Ahad, saya akan berasa kecut perut mahu bekerja esoknya, tertanya-tanya apakah mood ketua saya pada hari itu, mencongak-congak kerja apa yang belum saya siapkan lagi (oh banyaknya kerja tak siap.. buat saya semakin cemas!), terfikir-fikir apakah ada meeting esok (oh sungguh bosan kalau ada meeting!) dan kalau ada meeting, soalan cepu emas (persoalan yang saya tiada jawapan) apakah yang akan ditanya kepada saya (yang selalu menjadi orang pertama.. mangsa pertama kegemaran ketua saya!).

Ohh.. terasa seperti zaman sekolah pula!

regards,
~Ha~